Sunday, 1 February 2015

Ritual Mandi Bunga

Satu tradisi masyarakat Melayu yang masih lagi dikekalkan sehingga hari ini adalah kaedah mandi bunga yang sering diamalkan bagi meningkatkan seri wajah. Ritual ini sering dilakukan terutamanya dalam persiapan para pengantin baru yang akan bersanding. Apa pun tujuannya adalah bagi menaikkan seri pengantin supaya majlis persandingan menyerlahkan seri kedua pasangan. Bunga bunga daripada beberapa jenis dan warna (biasanya tujuh jenis ataupun warna bunga) akan direndamkan di dalam tab mandian ataupun kolah buat beberapa ketika. Kemudian ritual mandian dilakukan dengan berendam ataupun mandian biasa.

Apabila kita berbahas soal mandi bunga, sering kali ia mengundang kontra dan persoalan. Bukan sedikit tetapi terlalu ramai mereka yang mengaitkan ritual mandi bunga dengan kepercayaan yang syirik dan khurafat. Soalnya sekarang adalah bagaimana seseorang itu menilai dan memahami ritual mandi bunga itu sendiri. Tanpa pemahaman yang tepat dan akidah yang kukuh, seseorang itu terdedah kepada tergelincirnya iman bukan hanya khusus untuk mandi bunga, malah kepercayaan bahawa ubat tertentu dapat menyembuhkan sesuatu penyakit boleh merosakkan iman seseorang tanpa disedari.


Di sini ilmu dan pemahaman itu amat penting. Mandi bunga bukanlah suatu ritual yang bersifat misteri mahupun sakti. Ia sebenarnya bersifat saintifik. Tahukah anda kajian menunjukkan warna memainkan peranan penting dalam psikologi manusia dan warna juga mempunyai frekuensi gelombang tertentu yang dipengaruhi alam ini? Frekuensi ini juga mempengaruhi manusia.

Berbalik kepada persoalan mandi bunga. Dalam adat budaya Melayu mahupun budaya lain, ia biasanya menggunakan tujuh jenis bunga berlainan warna sebagai ramuan mandian. Pasti ramai yang tertanya tanya mengapa memerlukan tujuh jenis bunga berlainan warna. Ini adalah kerana ketujuh tujuh warna ini mempunyai gelombang tertentu yang diwakili oleh setiap jenis bunga yang mana warna warna ini adalah sama seperti warna warna pada sistem bioenergy manusia iaitu chakra dan aura.


Bunga bunga ini akan direndamkan di dalam air supaya frekuensi gelombang pada bunga bunga ini diserap oleh air dan kemudian air ini disiram ke seluruh tubuh badan. Apa yang berlaku di sini adalah air yang menyerap frekuensi pada bunga ini kemudiannya bersatu dengan sistem tenaga tubuh badan kita (aura). Di sini berlakulah proses pembersihan dan penjanaan tenaga (aura) manusia. Sebab itulah pengamal biasanya menasihati supaya jangan dikeringkan dahulu tubuh badan dan biarlah air mengering sendirinya. Logiknya adalah bagi memanjangkan proses penjanaan aura pada tubuh seseorang.

Biasanya ritual mandi bunga ini disulami dengan bacaan ayat ayat ataupun doa seperti selawat syifaa bagi penyembuhan diri dan sebagainya supaya proses itu mendapat berkat daripada Tuhan dan ia juga bertindak sebagai doa kepadanya.

Solat dan Aura

Umpama suatu rahsia yang tersembunyi di sebalik ritual solat yang diwajibkan kepada umat Islam, ia merupakan terapi alami yang dapat menjaga dan menjanakan kekuatan aura. Tanpa kita sedar, berwuduk sebelum solat, postur dan gerak badan semasa solat, bacaan surah dan bacaan dalam solat serta segala gerakan minda dan kerohanian yang berlaku dalam ritual ibadah ini sudah pun menjanakan penyucian, pembersihan dan penjanaan tenaga pada aura tubuh.

Berwuduk dapat membersihkan antena kulit bagi meningkatkan kualiti penyerapan dan sensitivitinya bagi merakam getaran tenaga alam. Gerak takbir, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud hinggalah memberi salam umpama satu senaman unik yang lengkap dengan aktiviti kinesiologi (otot otot) tubuh, pengakuan minda, kepasrahan jiwa (roh), kelenturan emosi dan sebagainya. Bacaan Al-Fatihah yang mengandungi tujuh ayat pada setiap rakaat umpama mengingatkan kita pada fakta tujuh warna dan tujuh lapisan aura yang dibicarakan tadi. Hanya dia yang maha tahu rahsianya.

Rancangan Aura Rasa

Rancangan Aura Rasa adalah satu rancangan masakan yang lain daripada yang lain. Ia adalah rancangan dua dalam satu yang memberi maklumat yang anda perlu tahu perihal Sistem Kesihatan Aura Manusia dan bagaimana pengaruh menu makanan seharian terhadap sistem ini. Secara ringkas, setiap episodnya memperkenalkan suatu topik perihal aura secara umum, kemudian anda dibawa bersama personaliti jemputan yang akan menjalani diagnosis aura bagi membongkar rahsia warna aura mereka. Berpandukan hasil diagnosis itu, beberapa menu masakan disediakan bagi membentuk keseimbangan aura personaliti berkenaan. Chef Aura menunjukkan penyediaan makanan yang memiliki aura aura yang sihat.

Rancangan ini adalah suatu evolusi dalam terbitan rancangan masakan yang menggabungkan aura dan rasa (menu makanan). Setakat ini belum pernah mana mana negara menghasilkan dokumentari seumpama ini yang menggabungkan teori Tenaga Warna (aura) pada sumber pemakanan dan kesannya pada sistem bioenergy manusia. Ia adalah satu usaha yang perlu diketengahkan, barulah ilmu aura benar benar dapat difahami.

Bagi anda yang ingin menonton siri Aura Rasa ini, anda boleh layari www.7chakra.com atau www.mych57.tv dan klik pada imej ikon mediktv dan eattv.





Teknik Penjagaan Aura

Teknik penjagaan aura adalah kaedah ilmu asas bagi menjaga keharmoniannya. Banyak kaedah dan bidang ilmu yang membicarakan tentangnya secara teori dan amali, namun keberkesanan teknik teknik ini lebih dirasai melalui bimbingan peribadi oleh seorang chi-master atau guru. Antara seni penyembuhan aura yang mudah dan praktikal dewasa ini adalah Seni Penyembuhan Reiki yang secara meluasnya digunakan di seluruh dunia. Malah teknik Reiki juga digunakan di hospital hospital Barat sebagai rawatan pelengkap kepada rawatan moden.

Ramai ahli intelektual daripada pelbagai kaum mempelajari dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Banyak permasalahan dan situasi dapat diatasi melaluinya kerana aura yang harmoni adalah pencetus kepada kehidupan yang harmoni dan sihat. Aura yang hebat bukan sahaja membawa manfaat kepada pemiliknya malah ia terpancar dan menjadi tarikan yang kuat yang mencetuskan kehormatan, keceriaan, kesejahteraan, kemuliaan dan sanjungan insan lain terhadapnya.




Aura itu umpama medan magnet yang hebat, memiliki aura yang positif dapat menarik tenaga positif hadir dalam kehidupan. Sekiranya menjanakan aura kekayaan, ia menarik harta dan kekayaan ke dalam kehidupan. Ia adalah hakikat dan fakta. Ia dapat dimiliki dan dikuasai oleh sesiapa tanpa ada sempadan usia, jantina, agama, budaya ataupun nasib tertentu. Mempelajari ilmu aura atau Reiki membolehkan seseorang menjana aura yang diingininya.

Kesihatan aura juga dapat dijaga melalui terapi pemakanan seharian. Saya turut memperkembangkan teori teori ilmiah dan berkongsi tip penjagaan aura melalui skop pemakanan melalui siri masakan yang ditayangkan di stesen TV tempatan.

Saturday, 31 January 2015

Teknologi Foto Aura

Daripada teknik foto aura, warna personaliti ini dapat dikenal pasti kecenderungannya sama ada ia merah, jingga, kuning, hijau, biru, indigo ataupun violet. Kecenderungan inilah yang membezakan sikap, perwatakan, cara berfikir, permasalahan dan kedudukan yang berbeza beza di antara kita. Sebagai contoh, para cerdik pandai pemikiran memiliki kecenderungan penggunaan getaran gelombang tenaga kuning berlebihan yang menjadikan mereka bijak, hebat, berjaya, kaya dan berkedudukan. Namun begitu, secara fitrahnya tenaga yang diguna secara berlebihan mula tidak stabil ataupun tidak harmoni.





Kesan daripada itulah pada kebiasaan, mereka ini mengalami kecenderungan masalah penyakit ginjal, kencing manis, gastrik, masalah sistem hati dan limpa; yang simptomnya seperti keguguran rambut, kerabunan, sakit pinggang atau belikat, panas baran, ego dan lain lain. Setiap warna memiliki kelebihan tersendiri dan sudah pasti setiap kelebihan ada kelemahannya.

Melihat aura melalui foto aura, bukan sahaja suatu pengalaman yang menyeronokkan tetapi ia juga dapat digunakan sebagai satu diagnosis kesihatan bagi mengukur tahap gelombang tujuh warna dalam tubuh yang berkait rapat bagi kegunaan fizikal dan psikologikal kita. Maklumat tentang kecenderungan, kehebatan, kelebihan serta kekurangan ini dapat dikenal pasti daripadanya. Umpama berkenalan dengan diri sendiri, mengkaji rahsia diri, satu kehebatan kejadian Tuhan.

Walaupun begitu, di Malaysia kaedah diagnosis dan ilmu aura ini masih hijau tetapi kian bercambah pesat. Tidak seperti negara negara maju di Barat, penggunaan foto aura ini bukan sahaja digunakan oleh pengamal perubatan alternatif, ia sudah diterima pakai sebagai salah satu alat diagnosis penting di Hospital moden, pusat sains sukan, jabatan sumber manusia, jabatan psikologi manusia dan lain lain. Sebagai contoh, beberapa hospital swasta di Barat menggunakan kaedah diagnosis aura sebagai pemeriksaan awal sebelum diagnosis fizikal dijalankan. Ini kerana, sebarang bentuk ketidakseimbangan tenaga pada fizikal, minda dan emosi diukur bagi menentukan kesesuaian rawatan susulan yang diperlukan oleh pesakit. Contohnya bagi pesakit kanser yang mengalami gangguan emosi dan minda yang dikenal pasti daripada diagnosis aura, ia akan dirujuk kepada ahli psikologi bagi sesi kaunseling sebelum rawatan fizikal kanser dimulakan.

Kini teknologi canggih ini ada di Malaysia, walaupun penerimaannya masih pada peringkat pengenalan, namun keputusan diagnosis ini dapat dijadikan sandaran pada apa jua permasalahan fizikal, minda dan emosi seseorang.

Sistem Aura Manusia

Menurut ilmu sains fizik, setiap benda terdiri daripada partikel partikel kecil yang disebut sebagai atom. Atom terdiri daripada elektron elektron negatif dan proton proton positif. Proton dan elektron ini adalah getaran letrik dan magnet. Proton bergerak mengelilingi di sekeliling inti sedangkan elektron bergerak mengelilingi proton. Ruang di mana atom bergerak disebut ruang atau medan tenaga (energy field). Medan tenaga ini memancarkan cahaya. Dengan demikian, setiap benda yang terdiri daripada atom mempunyai ruang tenaga bercahaya. Inilah yang disebut aura.


Aura adalah medan arus elektromagnet atau perisai halus yang terbentuk di luar objek yang memiliki sejumlah getaran gelombang tenaga di dalamnya. Getaran gelombang tenaga ini berkait rapat pada tahap tenaga pada minda, emosi dan fizikal individu berkenaan. Melalui teknik foto aura, tahap tenaga gelombang ini dikenal pasti melalui warna warna yang berada di sekeliling tubuh subjek di mana setiap warna mewakili tahap tenaga yang berbeza beza getaran gelombangnya. Melalui ilmu dan kaedah chromatology, tahap getaran tenaga ini dapat mentafsirkan keadaan kesihatan, karakter, personaliti, kekuatan dan kelemahan subjek yang dikaji.

Aura juga bertindak sebagai perisai diri. Manusia terdedah kepada getaran tenaga negatif yang berada di sekelilingnya. Dari sinar UV yang berlebihan sehinggalah kesan sinar inframerah yang merosakkan sel dan tisu tubuh manusia seperti gelombang mikro, televisyen, radio, telefon bimbit dan lain lain. Aura yang sihat dan bersaiz besar dapat mengekalkan keharmonian tubuh di dalamnya, manakala aura yang nipis dan pecah memudahkan getaran gelombang negatif masuk dan mengakibatkan ketidakseimbangan tenaga berlaku. Faktor stres adalah salah satu manifestasi ketidakseimbangan tenaga pada aura tubuh manusia.

Kebanyakkan buku buku yang membicarakan ilmu aura menceritakan kewujudan medan tenaga ini dalam beberapa lapisan. Sebahagian lapisan ini mengikut bentuk tubuh manusia manakala selebihnya berbentuk bujur telur. Setiap lapisan medan tenaga ini mempunyai tugasan dan fungsi yang berbeza beza, yang berperanan penting pada sistem bioenergy manusia. Terdapat tujuh lapisan aura yang berada di sekeliling tubuh fizikal manusia. Lapisan lapisan itu adalah:

Lapisan Pertama: Lapisan Tubuh Eterik
Lapisan yang paling hampir atau dalam, dekat dengan tubuh fizikal; mewakili tahap kesihatan tubuh fizikal.

Lapisan Ke-2: Lapisan Tubuh Emosi
Berkait rapat dengan sistem emosi dan perasaan manusia. Juga mempunyai kaitan pada pengalaman manis dan pahit seseorang. Lapisan cahaya warna ini dikatakan setebal tiga inci daripada tubuh fizikal

Lapisan Ke-3: Lapisan Tubuh Mental
Lapisan ini menceritakan tentang kebolehan kuasa minda sedar tubuh

Lapisan Ke-4: Lapisan Tubuh Astral
Lapisan pertengahan antara lapisan lapisan yang lain, berkait rapat pada Chakra Jantung (hijau). Sebagai lapisan yang menghubungkan tenaga tenaga yang mengalir dari lapisan luaran ke lapisan dalaman, begitu juga sebaliknya.

Lapisan Ke-5: Lapisan Tubuh Eterik Tinggi
Lapisan yang berkait rapat dengan lapisan eterik tingkat pertama yang menceritakan perihal kesihatan tubuh fizikal. Namun, pada lapisan ini tenaga bergetar pada tingkatan yang lebih tinggi bersamaan dengan getaran gelombang bunyi. Bagi mengimbangi kesihatan lapisan eterik pertama, lapisan eterik tinggi ini memerlukan getaran tenaga bunyi seperti mantera, zikir ataupun doa.

Lapisan Ke-6: Lapisan Tubuh Mental Tinggi
Tenaga bergetar pada frekuensi yang lebih tinggi yang berkait rapat pada sistem gerak rasa atau firasat manusia

Lapisan Ke-7: Lapisan Tubuh Rohaniah atau Spiritual
Lapisan yang menghubungkan tenaga alam terus kepada lapisan aura lain seterusnya ke dalam sistem chakra tubuh bagi pelbagai kegunaan dan kepentingan tubuh manusia. Berkait terus dengan sistem roh yang terhubung dengan talian hayat (dikenali juga sebagai kundalini) daripada Tuhan.

Rahsia kehebatan penciptaan Tuhan menjanakan ketujuh tujuh getaran gelombang tenaga warna pelangi ini bergetar dan memancar bagi keharmonian semua sistem rohani dan jasmani di mana setiap manusia memilikinya. Namun begitu, kita memiliki kecenderungan menggunakan satu medan tenaga secara berlebihan ataupun dalam kekerapan yang tinggi, seterusnya menjanakan satu perwatakan tersendiri dan unik. Gelombang warna ini lebih terpancar keluar dan dapat dilihat pada medan gelombang elektromagnet di sekeliling tubuh yang dinamakan aura.

Sistem Antena Tubuh

Seperti sistem komputer, sistem manusia tiada fungsi sekiranya tiada bekalan elektrik ataupun bateri yang dialirkan kepadanya. Pada sistem bioenergy manusia, minda, tubuh dan roh ini memerlukan dan menggunakan sumber tenaga dalam tugasannya. Sumber tenaga ini diperoleh dari pelbagai sistem (makanan, udara, air dan cahaya). Sumber tenaga elektrik hadir terutamanya dari tenaga suria melalui rakaman arus elektromagnetik cahaya yang dirakam oleh liang roma di seluruh kulit pada tubuh manusia. Bulu roma dan rambut umpama antenna yang merakam gelombang tenaga ini yang berada di persekitaran kita.


Ia seterusnya dialirkan melalui sistem jaluran tenaga yang dikenali sebagai meridian oleh rawatan akupunktur. Meridian ini pula terhubung dengan jalur kundalini yang bertindak umpama salur utama yang dikatakan berada di sepanjang tulang belakang tubuh. Kundalini juga merupakan antara pusat tenaga utama yang dikenali sebagai chakra. Arus tenaga dari antenna disimpan oleh chakra yang kemudiannya mengalirkannya semula bagi aktiviti elektrik keseluruhan tubuh. Pengaliran pergi balik tenaga elektrik di sepanjang tubuh ini seterusnya menghasilkan medan elektromagnetik di sekeliling tubuh yang dikenali sebagai sistem aura manusia.