Sunday, 1 February 2015

Ritual Mandi Bunga

Satu tradisi masyarakat Melayu yang masih lagi dikekalkan sehingga hari ini adalah kaedah mandi bunga yang sering diamalkan bagi meningkatkan seri wajah. Ritual ini sering dilakukan terutamanya dalam persiapan para pengantin baru yang akan bersanding. Apa pun tujuannya adalah bagi menaikkan seri pengantin supaya majlis persandingan menyerlahkan seri kedua pasangan. Bunga bunga daripada beberapa jenis dan warna (biasanya tujuh jenis ataupun warna bunga) akan direndamkan di dalam tab mandian ataupun kolah buat beberapa ketika. Kemudian ritual mandian dilakukan dengan berendam ataupun mandian biasa.

Apabila kita berbahas soal mandi bunga, sering kali ia mengundang kontra dan persoalan. Bukan sedikit tetapi terlalu ramai mereka yang mengaitkan ritual mandi bunga dengan kepercayaan yang syirik dan khurafat. Soalnya sekarang adalah bagaimana seseorang itu menilai dan memahami ritual mandi bunga itu sendiri. Tanpa pemahaman yang tepat dan akidah yang kukuh, seseorang itu terdedah kepada tergelincirnya iman bukan hanya khusus untuk mandi bunga, malah kepercayaan bahawa ubat tertentu dapat menyembuhkan sesuatu penyakit boleh merosakkan iman seseorang tanpa disedari.


Di sini ilmu dan pemahaman itu amat penting. Mandi bunga bukanlah suatu ritual yang bersifat misteri mahupun sakti. Ia sebenarnya bersifat saintifik. Tahukah anda kajian menunjukkan warna memainkan peranan penting dalam psikologi manusia dan warna juga mempunyai frekuensi gelombang tertentu yang dipengaruhi alam ini? Frekuensi ini juga mempengaruhi manusia.

Berbalik kepada persoalan mandi bunga. Dalam adat budaya Melayu mahupun budaya lain, ia biasanya menggunakan tujuh jenis bunga berlainan warna sebagai ramuan mandian. Pasti ramai yang tertanya tanya mengapa memerlukan tujuh jenis bunga berlainan warna. Ini adalah kerana ketujuh tujuh warna ini mempunyai gelombang tertentu yang diwakili oleh setiap jenis bunga yang mana warna warna ini adalah sama seperti warna warna pada sistem bioenergy manusia iaitu chakra dan aura.


Bunga bunga ini akan direndamkan di dalam air supaya frekuensi gelombang pada bunga bunga ini diserap oleh air dan kemudian air ini disiram ke seluruh tubuh badan. Apa yang berlaku di sini adalah air yang menyerap frekuensi pada bunga ini kemudiannya bersatu dengan sistem tenaga tubuh badan kita (aura). Di sini berlakulah proses pembersihan dan penjanaan tenaga (aura) manusia. Sebab itulah pengamal biasanya menasihati supaya jangan dikeringkan dahulu tubuh badan dan biarlah air mengering sendirinya. Logiknya adalah bagi memanjangkan proses penjanaan aura pada tubuh seseorang.

Biasanya ritual mandi bunga ini disulami dengan bacaan ayat ayat ataupun doa seperti selawat syifaa bagi penyembuhan diri dan sebagainya supaya proses itu mendapat berkat daripada Tuhan dan ia juga bertindak sebagai doa kepadanya.

Solat dan Aura

Umpama suatu rahsia yang tersembunyi di sebalik ritual solat yang diwajibkan kepada umat Islam, ia merupakan terapi alami yang dapat menjaga dan menjanakan kekuatan aura. Tanpa kita sedar, berwuduk sebelum solat, postur dan gerak badan semasa solat, bacaan surah dan bacaan dalam solat serta segala gerakan minda dan kerohanian yang berlaku dalam ritual ibadah ini sudah pun menjanakan penyucian, pembersihan dan penjanaan tenaga pada aura tubuh.

Berwuduk dapat membersihkan antena kulit bagi meningkatkan kualiti penyerapan dan sensitivitinya bagi merakam getaran tenaga alam. Gerak takbir, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud hinggalah memberi salam umpama satu senaman unik yang lengkap dengan aktiviti kinesiologi (otot otot) tubuh, pengakuan minda, kepasrahan jiwa (roh), kelenturan emosi dan sebagainya. Bacaan Al-Fatihah yang mengandungi tujuh ayat pada setiap rakaat umpama mengingatkan kita pada fakta tujuh warna dan tujuh lapisan aura yang dibicarakan tadi. Hanya dia yang maha tahu rahsianya.

Rancangan Aura Rasa

Rancangan Aura Rasa adalah satu rancangan masakan yang lain daripada yang lain. Ia adalah rancangan dua dalam satu yang memberi maklumat yang anda perlu tahu perihal Sistem Kesihatan Aura Manusia dan bagaimana pengaruh menu makanan seharian terhadap sistem ini. Secara ringkas, setiap episodnya memperkenalkan suatu topik perihal aura secara umum, kemudian anda dibawa bersama personaliti jemputan yang akan menjalani diagnosis aura bagi membongkar rahsia warna aura mereka. Berpandukan hasil diagnosis itu, beberapa menu masakan disediakan bagi membentuk keseimbangan aura personaliti berkenaan. Chef Aura menunjukkan penyediaan makanan yang memiliki aura aura yang sihat.

Rancangan ini adalah suatu evolusi dalam terbitan rancangan masakan yang menggabungkan aura dan rasa (menu makanan). Setakat ini belum pernah mana mana negara menghasilkan dokumentari seumpama ini yang menggabungkan teori Tenaga Warna (aura) pada sumber pemakanan dan kesannya pada sistem bioenergy manusia. Ia adalah satu usaha yang perlu diketengahkan, barulah ilmu aura benar benar dapat difahami.

Bagi anda yang ingin menonton siri Aura Rasa ini, anda boleh layari www.7chakra.com atau www.mych57.tv dan klik pada imej ikon mediktv dan eattv.





Teknik Penjagaan Aura

Teknik penjagaan aura adalah kaedah ilmu asas bagi menjaga keharmoniannya. Banyak kaedah dan bidang ilmu yang membicarakan tentangnya secara teori dan amali, namun keberkesanan teknik teknik ini lebih dirasai melalui bimbingan peribadi oleh seorang chi-master atau guru. Antara seni penyembuhan aura yang mudah dan praktikal dewasa ini adalah Seni Penyembuhan Reiki yang secara meluasnya digunakan di seluruh dunia. Malah teknik Reiki juga digunakan di hospital hospital Barat sebagai rawatan pelengkap kepada rawatan moden.

Ramai ahli intelektual daripada pelbagai kaum mempelajari dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Banyak permasalahan dan situasi dapat diatasi melaluinya kerana aura yang harmoni adalah pencetus kepada kehidupan yang harmoni dan sihat. Aura yang hebat bukan sahaja membawa manfaat kepada pemiliknya malah ia terpancar dan menjadi tarikan yang kuat yang mencetuskan kehormatan, keceriaan, kesejahteraan, kemuliaan dan sanjungan insan lain terhadapnya.




Aura itu umpama medan magnet yang hebat, memiliki aura yang positif dapat menarik tenaga positif hadir dalam kehidupan. Sekiranya menjanakan aura kekayaan, ia menarik harta dan kekayaan ke dalam kehidupan. Ia adalah hakikat dan fakta. Ia dapat dimiliki dan dikuasai oleh sesiapa tanpa ada sempadan usia, jantina, agama, budaya ataupun nasib tertentu. Mempelajari ilmu aura atau Reiki membolehkan seseorang menjana aura yang diingininya.

Kesihatan aura juga dapat dijaga melalui terapi pemakanan seharian. Saya turut memperkembangkan teori teori ilmiah dan berkongsi tip penjagaan aura melalui skop pemakanan melalui siri masakan yang ditayangkan di stesen TV tempatan.